1000 Rumah Mewah Subang Bestari Dijual

1000 Rumah Mewah Subang Bestari Dijual

Oleh Azli Ayob

WORLDWIDE Holdings Bhd (WHB) sudah menjual 1,000 unit kediaman bernilai RM250 juta di projek perbandaran Subang Bestari, Seksyen U5, Shah Alam yang dibangunkannya sejak 1996.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Ibrahim Md Yusof, berkata jualan dijangka meningkat dengan pelancaran fasa baru membabitkan rumah teres dua tingkat jenis Aman dan penyiapan beberapa projek lebuh raya utama yang menghubungi projek berkenaan.

Beliau berkata, rumah teres jenis Aman membabitkan 76 unit berkeluasan 2,276 kaki persegi yang akan dijual pada harga bermula RM300,000 seunit dan 119 unit berkeluasan 1,846 kaki persegi yang ditawarkan pada harga bermula RM260,000.

Rumah teres berkenaan dijangka dilancarkan minggu depan.

“Kami yakin fasa baru ini akan mendapat sambutan daripada pembeli sama seperti fasa sebelum ini kerana lokasinya yang strategik dan dihubungkan dengan lebuh raya utama,” katanya pada sidang media sempena lawatan media ke tapak projek Subang Bestari di Shah Alam, semalam.

Terletak hanya 12 kilometer dari Shah Alam dan empat kilometer dari Bandar Utama, Petaling Jaya, projek perbandaran baru itu dikelilingi kemudahan prasarana seperti Lebuhraya Damansara-Puchong, Lebuhraya Persekutuan, Lebuhraya Lembah Klang Utara dan Lebuhraya Shah Alam-Puncak.

Ibrahim berkata, kira-kira 20 peratus daripada unit dalam fasa yang sedang dibangunkan syarikat akan ditawarkan kepada pembeli mengikut konsep bina dan jual seperti yang dicadangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Kami menawarkan kira-kira 107 unit rumah teres bernilai RM26 juta mengikut konsep bina dan jual bagi membolehkan pembeli meneliti rumah berkenaan sebelum membuat keputusan membeli,” katanya.

Beliau berkata, konsep itu masih baru dan dijangka akan diperluaskan kepada projek perumahan WHB pada masa depan.

“WHB berupaya menawarkan rumah mengikut konsep ini kerana kedudukan kewangan kami yang mengizinkan,” katanya.

Ibrahim berkata, meskipun harga rumah mengikut konsep bina dan jual lebih mahal, syarikat yakin ia akan mendapat sambutan kerana pembeli boleh memastikan mutunya.

“Di bawah konsep ini, pemaju kebiasaannya terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi kerana terpaksa memperuntukkan wang yang banyak bagi setiap rumah yang dibina tanpa mendapat bayaran daripada pembeli mengikut kemajuan projek,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, WHB menjangka meningkatkan perolehannya kepada RM80 juta tahun ini disumbangkan oleh beberapa projek yang sedang dibangunkan, terutama Subang Bestari, iaitu projek utamanya.

Selain rumah teres, projek Subang Bestari seluas 180 hektar itu turut dibangunkan dengan 99 unit kondominium ala villa, apartmen Seri Galaksi dan unit komersial.

Apabila siap sepenuhnya pada 2007, projek dengan nilai pembangunan kasar kira-kira RM800 juta itu akan mempunyai 5,000 unit kediaman dan komersial.

No Responses to “1000 Rumah Mewah Subang Bestari Dijual”
Leave a Reply